Whiskas imagery
Carian Khas

Enter a keyword below to search for articles and products.

Tingkah Laku Kucing: Memahami Bahasa Badan Kucing & Emosi Kucing

“Fahami tentang kepelbagaian naluri semula jadi kucing anda yang membentuk kelakuannya. Biarkan ia melakukan apa yang inginkan dan kucing anda akan menunjukkan tanda terima kasihnya kepada anda”

Kucing merupakan salah satu haiwan peliharaan keluarga yang terbaik. Akan tetapi, sebelum anda membawa pulang kucing ke rumah, anda perlu memastikan bahawa anda mempunyai kefahaman mengenai bahasa badan dan tingkah laku kucing anda. Ini membantu dalam komunikasi anda dengan si comel setelah menjadi sebahagian daripada keluarga anda. Ia lebih memudahkan anda dan juga si comel untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baharu dan antara satu sama lain.

Kebanyakan orang ramai mempercayai bahawa kucing tidak pandai memperlihatkan kasih sayang seperti anjing. Akan tetapi kucing mempunyai komunikasi unik mereka tersendiri. Contohnya, adakah anda sedar bahawa kucing hanya mengiau kepada manusia? Jadi, jika kucing kesayangan anda mengiau pada anda atau disekeliling anda, ianya sebenarnya sedang ‘bercakap’ dengan anda. Anda hanya perlu memahami kucing kesayangan anda.

Beberapa aspek penting yang akan membantu anda untuk memahami kucing anda sebaiknya adalah seperti berikut.

Tingkah Laku Kucing

Memahami tingkah laku kucing membolehkan anda mengetahui perkara yang kucing anda ingin sampaikan kepada anda. Kucing sememangnya pandai mengekspresi kecomelan diri mereka, ada kalanya, tingkah laku mereka agak ganjil dan pelik.

Apabila kucing menjilat anda, menunjukkan perutnya kepada anda, berdengur dan memijat dengan tapak kakinya, anda akan berasa ‘awwww’ dan ingin terus memeluk dan bermanja dengannya.

Ekspresi anda akan tiba-tiba berubah menjadi ‘Oh tidak!’ apabila kucing menjatuhkan barang, mencakar perabot dan sofa, membuang air di luar kotak najis, membawa pulang bangkai haiwan atau mainan dari luar dan mula mengeluarkan bunyi yang bising dan kicauan/chirping.

Selain itu, kucing akan menggesel pada permukaan atau diri anda sendiri yang membawa maksud penandaan kawasan.

Anda mungkin juga akan mendapati kucing anda memakan rumput! Anda akan tertanya-tanya sebab kucing anda memakan rumput walaupun mereka telah kenyang dengan makanan yang telah diberikan. Ia mungkin untuk melegakan perut mereka kerana ia dapat membantu dalam masalah gumpalan bulu dan gastrousus.

Bahasa Isyarat Kucing

Emosi kucing adalah lebih mudah untuk ditafsirkan berbanding tingkah laku mereka dengan syarat anda mengetahui bahasa badan mereka. Kucing menggunakan kombinasi bahasa badan yang unik, isyarat bau dan bunyi tersendiri untuk berkomunikasi. Berikut merupakan beberapa bahasa isyarat kucing yang akan membantu anda cara memahami kucing anda:

  • Bunyi

    Berdengkur, mengiau, bersuara geram dan berdesis adalah sebahagian daripada kemahiran kucing. Setiap bunyi ini mempunyai maksud tersendiri. Berdengkur dan mengiau adalah bunyi mesra, manakala bersuara geram dan berdesis menunjukkan amaran untuk anda menjauhkan diri daripadanya.

  • Mata

    Mata memainkan peranan yang penting dalam komunikasi kucing. Apabila mata kucing membesar secara tiba-tiba, ianya menunjukkan suatu emosi yang kuat. Sekiranya mata kucing terbuka luas, ia menandakan kucing itu mempercayai anda. Jika mata kucing dikecilkan, ia menunjukkan kucing dalam ketakutan atau agresif. Mata yang kelihatan mengantuk dan mata yang layu menandakan kucing anda sedang santai dan berehat.

  • Telinga

    Kucing juga berkomunikasi melalui telinga. Telinga kucing menghadap ke hadapan membawa maksud kucing anda berminat akan sesuatu. Kucing menggerakkan telinga ke belakang atau ke sisi menunjukkan ia keresahan atau terangsang. Jika kucing anda berasa terancam, telinga kucing akan ke belakang.

  • Bulu

    Cara memahami kucing anda melalui bulunya? Apabila kucing sihat dan tenang, bulunya akan kelihatan normal. Jika bulunya kelihatan bergumpal, ia menunjukkan mereka tidak sihat. Jika bulunya kelihatan kembang secara tiba-tiba atau ekornya mempunyai bentuk seakan ‘berus botol’, ia menandakan kucing dalam ketakutan atau agresif.

  • Haruman dan bau

    Manusia jarang dapat mentafsir isyarat bau kucing. Walau bagaimanapun, kucing menggunakan pelbagai bau untuk kucing lain dalam bentuk tanda najis dan air kencing, mencakar dan menggesel badan mereka. Kucing adalah sangat ‘teritorial’ , malah anak kucing juga memahami isyarat bau ini.

  • Ekor

    Pergerakan ekor juga mempunyai maksud yang berbeza. Apabila kucing ingin dimanja, ia menegakkan ekornya. Ekor yang dihentak atau dihayun adalah tanda kucing menjauhkan jarak. Jika terdapat kesan bulu ekor terpacak , ia menunjukkan kucing sedang mempertahankan diri. Jika ekornya tinggi dan terpacak, kucing itu bersedia untuk berlawan. Akhir sekali, jika kucing ketakutan, ekornya akan terselit antara dua kakinya.

Emosi Kucing

Anda akan berasa terkejut jika mengetahui bahawa kucing mempunyai emosi yang kuat dan mereka tidak malu untuk menunjukkannya. Banyak penyelidikan mengenai emosi kucing telah dilakukan sejak akhir-akhir ini. Kita mengharapkan lebih banyak maklumat mengenai misteri kucing dan cara memahami kucing anda dalam tahun-tahun akan datang. Anda juga boleh pastikan kucing kesayangan anda bukan sahaja mempunyai kasih sayang yang mendalam terhadap anda, malah mereka juga akan berasa bahagia, takut, murung, bimbang dan lega. Kucing juga mempunyai tindak balas emosi yang kuat terhadap kesakitan.

Perkara menarik untuk diketahui bahawa kucing mempunyai kebolehan kognitif tahap tinggi. Sifat ini lazim untuk kucing domestik di mana mereka boleh mengenalpasti emosi orang asing dan juga pemiliknya. Apabila pemiliknya menunjukkan tingkah laku yang positif, kucing lebih suka menghabiskan masa dengan berdengkur dan menggesel badan mereka pada pemiliknya. Jika pemiliknya marah atau geram akan sesuatu, kucing akan menunjukkan stress dengan telinga ke belakang dan menyorok.

Bahasa Badan Kucing

Memahami bahasa badan kucing adalah bidang yang menarik untuk dipelajari. Komunikasi kucing berlaku melalui seluruh badan, telinga, mata, bunyi, ekor, bulu dan sebagainya. Untuk memahami kucing, anda hanya perlu memerhatikan dengan teliti apa yang ingin mereka sampaikan.

Menjilat, berdengkur, mengiau manja, bergesel, memijat dan baring dengan menunjukkan perutnya adalah petanda kucing mempercayai anda, inginkan perhatian dan menyayangi anda. Ia juga menunjukkan kucing itu gembira dan anda menganggapnya sebahagian daripada keluarga. Jika kucing melengkungkan belakangnya dengan ekornya ditinggikan dan menundukkan kepala kepada anda, anda perlu faham bahawa kucing ingin dipeluk dan mahukan kasih sayang sepenuhnya. Kucing yang melingkarkan badan dan menggeliat menunjukkan mereka berasa selamat dan tenang kerana itu merupakan posisi tidur kegemaran mereka. Sebaliknya, jika kucing berdesis, bunyi geram, dan bulunya terangkat bermakna mereka dalam ketakutan.

Soal Lazim berkenaan Memahami Kucing Anda

 

Bagaimana anda ingin menunjukkan anda menyayangi kucing anda?

Terdapat banyak cara untuk menunjukkan kasih sayang anda kepada si comel. Antaranya:-

  • Biarkan mereka bergesel pada anda
  • Membelainya secara lembut
  • Meniru suaranya
  • Kelipkan mata secara perlahan dan merenung matanya dengan penuh kasih sayang
  • Mendandannya
  • Bermain bersamanya

Bagaimana cara memahami kucing saya?

Memahami kucing anda sememangnya mudah. Ambil tahu dan teliti tingkah laku dan bahasa badan. Perhatikan mata, telinga, bulu, panggilan atau ngiaunnya dan juga ekornya. Anda akan memahami apa yang kucing anda ingin sampaikan.

Adakah kucing mengenali suara pemiliknya?

Ya. Setelah banyak penyelidikan dilakukan, ia membuktikan bahawa kucing boleh mengenali suara pemiliknya. Mereka boleh membezakan suara pemilik dengan orang lain. Inilah sebabnya kucing akan datang kepada anda jika anda memanggilnya.

Adakah kucing boleh mengesan emosi manusia?

Kucing sangat sensitif pada manusia dan boleh memahami isyarat tertentu pada pemiliknya. Walau bagaimanapun, sensitiviti kucing lebih rendah berbanding anjing. Malah dalam memahami emosi manusia, kucing akan menunjukkan perubahan yang halus dan sedikit dalam tingkah laku mereka.

Whiskas brand imagery