Enter a keyword below to search for articles and products.
Dengan penambahbaikan dalam pemakanan dan penjagaan yang tetap, kucing anda boleh hidup lebih lama daripada sebelumnya
Kemungkinan besar kucing anda boleh hidup tempoh lebih kurang 13-17 tahun. Untuk membantu kucing anda menikmati kehidupan yang panjang dan ceria, cuba manfaatkan lima langkah pemeriksaan kesihatan ini di rumah. Dengan melakukan pemeriksaan ini sebulan sekali, anda boleh mengenalpasti masalah kesihatan pada peringkat awal, dan lakukan sesuatu mengenai hal ini.
Timbang berat kucing anda dengan memegangnya, berdiri di atas penimbang berat biasa anda di rumah, dan tolak berat badan anda sendiri daripada jumlah berat keseluruhan. Anda juga boleh mengenal pasti perubahan berat badan kucing anda dengan berdiri di depannya dan lihat “pinggang” bahagian belakang rusuk ia, atau letakkan kedua-dua tangan anda di bahagian atas pinggang – anda sepatutnya boleh merasakan tulang rusuknya. Anda juga boleh memeriksa lemak lebihan di celah peha dan di bahagian bawah perutnya.
Jika anda berpendapat bahawa kucing anda gemuk, dapat nasihat daripada doktor haiwan anda. Anda boleh membantu dengan cara mengeluarkan semua ganjaran makanan dan snek daripada menu, dan dengan cara memberi makan dalam saiz yang kecil empat kali sehari, berbanding dua hidangan makanan yang besar. Pastikan kucing anda melakukan sedikit senaman, juga, mulakan dengan masa bermain yang singkat dan sedikit demi sedikit teruskan dengan masa yang lebih panjang.
Jika anda berpendapat bahawa kucing anda kekurangan berat badan – jika tulang rusuknya kelihatan menonjol keluar, sebagai contohnya – bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan untuk pemeriksaan lengkap.
Periksa bulu kucing anda – bulu kucing anda sepatutnya terasa amat lembut bermula dari bahagian kepala hingga ke hujung ekornya. Usap bulu berdekatan kepalanya dan sepanjang belakang badannya untuk memeriksa sebarang kelumumur, kuping atau luka-luka.
Kemudian, periksa bahagian bawah ekor, pinggul dan perutnya. Perhatikan jika terdapat kutu yang telah bersarang pada bahagian tersebut. Jika ada, anda akan melihat kepingan-kepingan kecil berwarna hitam atau habuk. Jika anda berpendapat kucing anda berkutu, bincang dengan doktor haiwan anda untuk rawatan yang sesuai.
Periksa warna bulu kucing anda – ia sepatutnya berwarna terang dan berkilat. Jika warnanya kelihatan tidak bercahaya atau kusut, kucing anda mungkin tidak berada dalam keadaan yang baik.
Periksa mata kucing anda dengan menarik kelopak bawah matanya ke bawah secara berhati-hati – bahagian tersebut sepatutnya berwarna merah jambu. Periksa kedua-dua anak matanya untuk melihat sama ada saiz anak matanya normal. Kemudian, berdiri bersama kucing anda di sebelah tingkap, kemudian buka dan tutup langsir untuk memeriksa bagaimana tindak balas anak matanya terhadap cahaya. Dan periksa juga sama ada terdapat lelehan berwarna atau air mata yang berlebihan – atau kemungkinan ia telah terkena jangkitan kuman.
Periksa telinga kucing anda – ia sepatutnya berada dalam keadaan bersih dan berwarna merah jambu, tetapi tidak berwarna merah jambu terang. Telinga kucing anda juga sepatutnya bebas daripada tahi telinga dan bau yang busuk. Periksa untuk tahi telinga – terutamanya tahi telinga yang warna gelap, ini mungkin menunjukkan terdapat tungau di dalam telinganya atau terkena jangkitan.
Jika anda mendapati apa-apa masalah dengan mata atau telinga kucing anda, tanya doktor haiwan anda untuk nasihat.
Periksa gigi kucing anda dengan membuka mulutnya secara berhati-hati. Periksa kesemua gigi kucingnya, perhatikan jika terdapat lapisan keras berwarna kuning atau kecoklat-coklatan. Jika anda menjumpainya, bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan untuk membuang lapisan keras itu.
Anda boleh membantu mencegah pengumpulan lapisan keras dengan meminta doktor haiwan anda untuk membersihkan gigi kucing anda secara berkala. Teruskan usaha baik ini di rumah dengan membeli berus gigi dan ubat gigi yang direka khas untuk haiwan peliharaan, dan beri kucing anda hadiah atau makanan kering yang direka untuk melawan plak.
Periksa tubuh kucing anda bagi sebarang benjolan atau bonggol. Letakkan kedua-dua tangan anda di atas kepalanya dan gerakkan tangan anda ke bawah dagunya, kemudian bergerak ke bahagian belakang kaki depannya. Gerakkan tangan anda ke bahagian bawah bahu kucing anda, ke belakang kucing anda, atas pinggul, dan ke setiap kaki kucing anda. Dan juga periksa kuku dan pad tapak kaki bagi luka atau rekahan. Jika anda menjumpai apa-apa yang tidak memuaskan anda, bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan.
Jika anda kerap menyentuh kucing anda, anda akan mengetahui bagaimana keadaannya apabila ia sihat. Dengan cara itu, anda dengan cepatnya boleh mengesan apa-apa perkara yang tidak normal, dan bantu kucing anda untuk kehidupan yang ceria dan sihat.